AGENDAJENAYAH

Lelaki ditahan dipercayai muat naik kata-kata berbaur perkauman di media sosial

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Polis menahan Roslizal Razali petang semalam, kerana disyaki memuat naik ciapan berunsur perkauman di media sosial yang boleh menimbulkan isu ketenteraman awam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP A Skandaguru berkata Roslizal, 46, ditahan sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 6.30 petang di ibu negara.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba untuk membantu siasatan dan perintah reman dipohon hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Skandaguru, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Suspek juga ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Minggu lalu, polis mengeluarkan kenyataan sedang mengesan Roslizal Razali bagi membantu siasatan berhubung kes hasutan.

– BERNAMA


Pengarang :