Keadaan aliran trafik bergerak perlahan di Plaza Tol Gombak dari kedua-dua arah selepas orang ramai mula pulang dari bercuti di kampung halaman ketika tinjauan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 24 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lelaki kongsi detik cemas ketika pengsan sebelum langgar pintu plaza tol

SHAH ALAM, 30 APRIL: Lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri bersama tiga ahli keluarganya yang lain berkongsi detik cemas ketika kereta dinaiki merempuh pintu Plaza Tol Bentong Isnin lalu.

Nor Wahid, 52, berkata beliau terbau petrol yang kuat di dalam kenderaan selain dalam masa yang sama aliran trafik amat perlahan, lapor Berita Harian.

“Ketika menghampiri Plaza Tol Bentong, saya buka tingkap tapi suhu luar sangat panas. Tiba-tiba, saya rasa tak selesa dan tak bermaya. Saya bertanya isteri sama ada boleh pandu kereta selepas tol, tapi tiada balasan.

“Saya lihat isteri seperti sedang tidur nyenyak, manakala anak perempuan dan anak saudara juga tidur. Saya sangka mereka terlalu penat, namun tiba-tiba saya tak dapat fokus memandu kerana pandangan makin kabur, pendengaran kurang dan rasa lemah, saya pengsan.

Jelas Nor Wahid, beliau kembali sedar apabila dikelilingi kakitangan Hospital Bentong dan dimaklumkan tiga ahli keluarga turut menerima rawatan selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kenderaan.

“Tiba-tiba saya rasa ada orang tekan dada, tepuk pipi saya dan beritahu jangan tidur. Saya seperti bingung ketika itu, sebelum mula sedar selepas doktor beri oksigen di hospital dan semua ahli keluarga juga tersedar,” katanya.

Isnin lalu, empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta yang merempuh pintu Plaza Tol Bentong, arah barat, di Bentong.

Ketua Polis daerah Bentong berkata kejadian itu disedari anggota polis yang menjalankan rondaan Op Selamat serta kakitangan tol yang kemudiannya mengeluarkan mangsa dengan bantuan orang awam.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan ke Balakong, Selangor dan pemeriksaan perubatan mengesahkan mereka tidak sedarkan diri akibat kekurangan oksigen dalam badan,” kata Supt Zaiham Mohd Kahar.


Pengarang :