Suasana gotong-royong memasak 600 bekas bubur lambuk pada Program Agihan Bubur Lambuk MAIS di Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang pada 13 April 2023. Foto Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais agih 600 bekas bubur lambuk, hulur duit raya kepada anak yatim

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menganjurkan program gotong-royong memasak 600 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada empat rumah anak yatim sekitar Selangor.

Seramai 20 kakitangan Mais terlibat pada program yang dijalankan di rumah Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang.

“Kita masak dan agihkan 600 bekas bubur ini kepada empat rumah anak yatim dan juga masyarakat setempat,” Kata Mais menerusi Facebook.

Agihan bubur dibuat kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia, Banting; Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting dan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat (Rumah Penyayang Bestari, Banting).

Pada majlis sama, Mais juga turut menghulurkan duit raya kepada 125 anak yatim dengan peruntukan Baitulmal Mais berjumlah RM1,250 yang disampaikan Pengerusinya, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Kita ingin menambahkan keceriaan anak-anak ini dalam menjalani ibadah puasa. Ini salah satu inisiatif Mais mengimarahkan Ramadan dan mengerat hubungan silaturahim disamping berkongsi rezeki bersama komuniti setempat dan penghuni rumah anak yatim,” kata Mais lagi.

Turut hadir program berkenaan ialah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Prof. Madya Dr Haji Anhar Opir; Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; Ketua Hakim Syarie Selangor, Dato’ Mohamad Adib Husain; Setiausaha Mais, Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar dan Pengurus Besar Yide, Nur Mohd RazalI Abdullah.


Pengarang :