Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
AGENDANASIONAL

Mais: Arah kiblat masjid, surau di Selangor tidak perlu diragui

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri ini telah disemak dan diperakukan Jabatan Mufti Negeri Selangor serta tidak perlu diragui.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Mais turut mewajibkan penentuan arah kiblat dilaksanakan terlebih dahulu sebelum masjid, surau atau musolla baharu mula beroperasi.

“Merujuk laporan akhbar Berita Harian bertajuk ‘40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar’ bertarikh 24 April lalu Mais menegaskan tajuk laporan ini kurang tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar serta menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam khususnya di Selangor.

“Laporan akhbar tersebut hanya merujuk kepada penentuan arah kiblat rumah kediaman sahaja berdasarkan permohonan khidmat penentuan arah kiblat bagi rumah kediaman, ia sama sekali tidak berkaitan dengan penentuan arah kiblat masjid dan surau di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata dalam hal penentuan arah kiblat di negeri ini Jabatan Mufti Negeri Selangor sentiasa memberi pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat sama ada melalui laman web dan media sosial rasmi atau program pencerahan yang dilaksanakan.

Jelasnya penentuan arah kiblat boleh dilaksanakan ketika berlaku fenomena matahari tegak di atas Kaabah dikenali sebagai Istiwa’ A’dzom yang berlaku pada setiap 28 Mei dan 16 Julai pada tahun biasa dan pada 27 Mei dan 15 Julai pada tahun lompat.

“Umat Islam boleh melaksanakan penentuan arah kiblat berpandukan jadual kedudukan matahari dalam keadaan searah dengan Kaabah yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Selain itu boleh menggunakan aplikasi eFalak Selangor atau aplikasi lain yang membantu mengenal pasti arah kiblat melalui laman maya atau pautan yang dimuat turun pada peranti atau gajet mudah alih,” katanya.

Selain itu umat Islam boleh menggunakan perkhidmatan penentuan arah kiblat daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor atau pihak lain yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam menentukan arah kiblat.

Abdul Aziz berkata isu berhubung penentuan arah kiblat juga mendapat perhatian serius Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Beliau berkata Baginda tidak mahu mana-mana pihak termasuk media membuat laporan kurang tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat dan mencalarkan imej Islam.

Tegas Abdul Aziz masyarakat Islam tidak perlu meragui penentuan arah kiblat masjid dan surau di Selangor.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan merujuk terus kepada Mais berhubung pengesahan sesuatu perkara berkaitan pentadbiran agama Islam untuk mengelak sebarang kekeliruan atau salah faham yang boleh mencalarkan imej Islam.


Pengarang :