Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Daerah Sepang di Dewan Komuniti Pulau Meranti , Sepang pada 29 April 2023. Foto NAZIR KHAIRI/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR
SELANGOR

Mangsa ribut Sepang syukur rumah segera dibaiki, selesa sambut raya

SEPANG, 29 APRIL: Bantuan segera Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan kepada penduduk terjejas akibat ribut di Sepang pada 8 April lalu memberi keselesaan kepada mereka menyambut lebaran.

Pekerja kilang, Suzana Abdul, 37, berkata beliau berterima kasih atas tindakan pantas pihak berwajib yang memulakan kerja baik pulih bumbung rosak dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Suzana Abdul

“Bumbung di bilik utama rumah saya sudah siap dibaik pulih, hanya tinggal bahagian siling saja. Memang sangat cepat tindakan dan bantuan daripada mereka.

“Kami masih trauma dengan kejadian, walaupun saya tiada di rumah ketika itu hanya anak-anak saja tetapi sekarang bila cuaca hujan memang risau.

“Saya bersyukur dengan bantuan tunai yang diterima hari ini, sekurang-kurangnya boleh bantu beli peralatan yang rosak terkena air hujan ketika kejadian,” katanya yang menyewa di Pangsapuri Angsana di sini sejak tujuh tahun lalu.

Beliau ditemui pada majlis simbolik penyerahan bantuan kepada 36 mangsa ribut sekitar Sepang dari Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana di Dewan Komuniti Pulau Meranti hari ini.

Izwan Fazli Said

Sementara itu, kakitangan swasta, Izwan Fazli Said, 44, berkata ribut menyebabkan bumbung keretanya rosak ditimpa pokok tumbang selain siling garaj di kediamannya runtuh.

“Kos membaik pulih tidaklah terlalu mahal berbanding dengan mangsa lain yang rumah mereka rosak agak teruk akibat ribut, namun bantuan kewangan yang diterima hari ini banyak membantu menampung kos baik pulih,” katanya yang pertama kali berdepan kejadian ribut sejak tinggal di Taman Putra Perdana sejak 16 tahun lalu.

Pada 8 April lalu, lebih 20 lokasi di sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana di Sepang, terjejas akibat ribut.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.


Pengarang :