Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menganyam ketupat ketika majlis rewang rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Penyayang Aidilfitri Daerah Klang di Dewan Taman Sri Kerayong pada 30 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB anyam ketupat, buat lemang di rewang rumah terbuka Klang

KLANG, 30 APRIL: Dato’ Menteri Besar menunjuk bakat menganyam ketupat pada program rewang sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Klang hari ini.

Datuk Seri Amirudin mengambil masa seminit lebih menyiapkan satu kelongsong ketupat sambil diperhati penduduk yang bergotong-royong memasak di Dewan Taman Seri Kerayong, Kapar.

Beliau turut membuat lemang dengan memasukkan beras pulut ke dalam buluh selain membuat menu tradisi Jawa iaitu lontong.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Masdiana Muhamad bersama menyertai majlis rewang rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Penyayang Aidilfitri Daerah Klang di Dewan Taman Sri Kerayong pada 30 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu beliau diiringi isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad turut menyempurnakan penyembelihan seekor lembu untuk dijadikan juadah hidangan malam ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah akan berangkat ke majlis yang bermula dari 8 hingga 11 malam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melapah lembu ketika majlis rewang rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Penyayang Aidilfitri Daerah Klang di Dewan Taman Sri Kerayong pada 30 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Program yang akan menjelajah ke setiap daerah seterusnya dianjurkan di Padang Taman Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 29 April.

Ia diteruskan pada 5 Mei di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat, tapak Pasar Malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Seterusnya Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei), Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan tapak Uptown Sri Gombak (14 Mei) yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :