Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan di Program Iftar Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor bersama Petugas Barisan Hadapan Kesihatan di Hospital Serdang, Kajang pada 9 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Kerjasama Selangor, jabatan kesihatan faktor kejayaan harungi cabaran Covid-19

KAJANG, 10 APRIL: Kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dan jabatan kesihatan merupakan faktor Selangor dapat mengharungi cabaran mendepani pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor merupakan lokaliti paling buruk di Malaysia ketika negara dilanda Covid-19 dalam pelbagai aspek termasuk peningkatan kes, jumlah kematian atau kesesakan di hospital.

“Saya masih ingat bermula 2020 hingga 2021 bersama EXCO kesihatan awam dan pengarah kesihatan Selangor, kami sentiasa cuba beberapa kaedah selain melihat pendekatan untuk tanganinya.

“Kerajaan Negeri sentiasa menambah baik apa yang ada seperti lakukan saringan di lokaliti-lokaliti, diikuti vaksinasi. Kita beli hampir 700,000 vaksin manakala jutaan daripada persekutuan.

“Tidak ketinggalan kita juga jadi rujukan iaitu pusat kuarantin Maeps yang turut menjadi pusat rawatan, hospital dan kecemasan sementara. Tanpa kerjasama semua jabatan kesihatan negeri, tak mungkin kita dapat harungi dan lepasi Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis iftar perdana bersama 500 petugas barisan hadapan kesihatan di Hospital Serdang di sini semalam.

Menurut Amirudin, kesan daripada pandemik Covid-19, pihaknya juga menambah portfolio kesihatan awam di bawah Dr Siti Mariah.

“Kita perlu buat sesuatu ketika itu supaya dapat menghadapi cabaran mendatang. Ini kerana pada 2020 kita kurang bersedia daripada pelbagai aspek.

“Selain itu, kita tubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti (SUKA) supaya mereka menjadi pemangkin khususnya peringkat akar umbi supaya faktor kesihatan awam diambil kira,” katanya.


Pengarang :