Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyampaian sumbangan hari raya kepada golongan B40 bagi DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna MPAJ AU2 pada 9 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Terus amal langkah kesihatan awam, elak peningkatan Covid-19

GOMBAK, 9 APRIL: Dato’ Menteri Besar menasihatkan rakyat supaya terus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam sepanjang menyambut perayaan Aidilfitri nanti.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi mana-mana individu yang mempunyai gejala atau berasa kurang sihat, mereka disaran tidak memaksa diri berjumpa dengan orang ramai bagi mencegah penularan Covid-19.

“Aidilfitri pada kali ini lebih bermakna kerana tiada perintah kawalan pergerakan dan kekangan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

“Pada 2021 kita tidak boleh buat apa-apa begitu juga 2020. Tahun ini kita dapat meraikan bersama-sama tetapi saya nasihatkan hati-hati.

“Kalau tidak sihat atau ada simptom jangan paksa diri. Memang ada kes baharu tetapi ia tidak berat, namun kita perlu mengekangnya terlebih dahulu,” ucapnya pada majlis sumbangan Aidilfitri Parlimen Gombak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 hari ini.

Selain DUN Hulu Kelang, Amirudin yang merupakan ahli parlimen Gombak turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri itu bagi DUN Gombak Setia di Dewan Beringin Taman Seri Gombak.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 11 kluster pendidikan dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-13 2023 (ME13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac lalu serta pergerakan masyarakat yang banyak ketika musim cuti sekolah.


Pengarang :