Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tan Sri Onn Ismail pada 6 April 2023. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah pemergian mantan Speaker Dewan Negeri

SHAH ALAM, 6 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga mantan speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) yang meninggal dunia malam tadi.

Menerusi Twitter rasminya, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan roh Tan Sri Onn Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa dan Selat Klang dicucuri rahmat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Inalillahwainnailaihirajiun,” tulisnya.

Pagi tadi, Amirudin berkesempatan menziarahi jenazah Allahyarham bersama Speaker Ng Suee Lim dan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.

Onn, 84, dilapor menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang pada 7.15 malam tadi akibat sakit tua.

Allahyarham berkhidmat sebagai Speaker DNS selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008, ADN Sementa (1974 hingga 1982), ADN Selat Klang (1986 hingga 1995) dan pengerusi tetap Umno Malaysia.

Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Kampung Raja Uda sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda selepas Zuhur.


Pengarang :