Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Daerah Sepang di Dewan Komuniti Pulau Meranti, Sepang pada 29 April 2023. Foto NAZIR KHAIRI/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MBI belanja lebih RM20 juta setahun, pastikan kebajikan rakyat terbela

SEPANG, 29 APRIL: Lebih RM20 juta setahun dibelanjakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk memastikan kebajikan dan kemakmuran rakyat terbela.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbelanjaan itu terutamanya digunakan untuk menangani isu seperti bencana yang memerlukan bantuan mendesak.

“(Selangor) negeri yang kaya, aktiviti banyak, manusia juga ramai jadi kalau berlaku bencana akan menimpa masalah kepada ramai.

“Jadi kita kena sentiasa bersedia dan cuba menjadi sebuah negeri tahan uji dalam (menghadapi) pelbagai rintangan dan cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada 36 mangsa ribut sekitar Sepang di Dewan Komuniti Pulau Meranti di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan bantuan bencana ketika Majlis Penyerahan Bantuan Bencana daerah Sepang di Dewan Komuniti Pulau Meranti , Sepang pada 29 April 2023. Foto NAZIR KHAIRI/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu rakyat terutama ketika berlaku bencana yang memerlukan bantuan mendesak.

“Pastinya kalau berlaku (bencana) di Selangor Kerajaan Negeri akan cuba untuk menyerap kesan itu bersama-sama dengan penduduk.

“Kita tidak membiarkan penduduk menangani hal ini secara berseorangan tetapi kita cuba memastikan semua terutama yang perlu dibantu di peringkat awal kita bantu segera,” katanya.

Pada 8 April lalu, lebih 20 lokasi di sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana di Sepang, terjejas akibat ribut.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.


Pengarang :