Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penyampaian sumbangan hari raya peringkat DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna MPAJ AU2 pada 9 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBI peruntuk RM700,000 bantu B40, warga emas di Parlimen Gombak

GOMBAK, 9 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntukkan sejumlah RM700,000 untuk membantu golongan kurang mampu di Parlimen Gombak sempena Aidilfitri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan tersebut memanfaatkan seramai 1,500 penerima golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk warga emas.

“Bantuan Aidilfitri ini diagihkan MBI menggunakan dana peruntukan zakat wakalah untuk disalurkan kepada mereka yang berkelayakan dan memerlukan.

“Saya berharap bantuan wang tunai beserta beras ini dapat digunakan sebaiknya dan dapat membantu meringankan beban untuk membeli keperluan Aidilfitri,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Dewan Beringin Taman Seri Gombak hari ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri peringkat DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2.

Pada minggu lepas, MBI turut menyerahkan bantuan Ihya’ Ramadan kepada 97 masjid dan surau di Gombak.

Sumbangan meliputi 22 masjid dan 75 surau termasuk surau solat Jumaat bagi memudahkan institusi agama menyediakan kelengkapan menyambut puasa serta pergram imarah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama orang ramai selepas menyampaikan sumbangan hari raya peringkat DUN Gombak di Dewan Beringin Taman Seri Gombak pada 9 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :