Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir bercakap dalam sidang media selepas melancarkan program ‘Moreh@PJ Love You’ ketika melawat Bazar Ramadan Jalan PJS 1/30, Petaling Jaya pada 29 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ tamatkan penutupan jalan, simpang di tiga jalan utama hari ini

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 19 APRIL: Penutupan jalan dan persimpangan ketika pelaksanaan laluan kontra pada setiap petang hari bekerja di Jalan Othman, Jalan Templer dan Jalan Gasing di Petaling Jaya tamat hari ini.

Yang Dipertua Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata keputusan itu dibuat hasil pemerhatian ketika tempoh percubaan yang bermula 1 Mac lalu hingga semalam.

“Berdasarkan tempoh percubaan itu MBPJ telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan penutupan di jalan dan persimpangan tersebut.

“Penutupan ini ditamatkan hari ini, 19 April dan laluan kontra tanpa penutupan jalan serta simpang akan dilaksanakan berkuatkuasa 2 Mei ini,” kata Mohamad Azhan Md Amir ketika berucap dalam Mesyuarat MBPJ di Menara MBPJ hari ini.

Sebelum ini MBPJ mengumumkan penutupan jalan dan persimpangan selama tiga bulan melibatkan persimpangan Jalan Othman–Jalan Templer, persimpangan Jalan Gasing–Jalan Templer, persimpangan Jalan Templer–Jalan 6/29 dan setiap bukaan median di Jalan Templer.

Penutupan itu dibuat ketika pelaksanaan laluan kontra bermula dari jam 5 petang hingga 7.30 malam setiap hari kecuali Sabtu, Ahad, cuti umum dan ketika hujan.

 


Pengarang :