BUDAYARENCANA

Melankolik gonggongan anjing

Oleh Syuhada Salleh

Meletak kepala atas bantal di sela-sela waktu kepenatan begini adalah kenikmatan besar setelah berkelahan hampir sehari suntuk. Ah, kerja-kerja perpindahan melelahkan. Dan tidak seharusnya aku memikirkan apa-apa di sepertiga malam begini. Bukannya tiada esok. Sekarang waktunya untuk beristirahat. Tapi yang peliknya, insomnia masih lagi mengacau waktu-waktu begini.

Aku cemburu melihat suami di sebelah yang sudah lama berdengkur. Pada aku, mampu langsung terlelap sebaik meletak kepala di bantal juga nikmat besar daripada Tuhan. Tidak semua orang mampu memanfaatkan tempoh rehat tanpa pembaziran dengan fikir-fikir perkara koheren yang melarat-larat hingga ke pagi seperti yang selalu kualami. Tapi mujur mataku sudah mula diserang kantuk, perlahan-lahan…

“Gong! Gong! Gong!”

Menggeladak satu bunyi yang membuat aku terperanjat besar hingga tubuhku automatik terangkat serentak dengan jantung berdegup pantas. Cis, berdebar-debar sampai tubuh menggeletar. Itu bunyi salakan anjing yang sekonyong-konyong muncul ketika mataku hampir pejam. Kepalaku lengar seketika. Lantas Aku menyumpah seranah si anjing di dalam hati.

Aku bangun mengintai dari jendela, nampak jelas di depan pintu pagar rumah ini ada seekor anjing liar mundar-mandir. Dasar anjing! Ketat mulutku membebel pada pihak pengawal keselamatan perumahan ini yang membiarkan anjing liar bekeliaran.

***

Langit yang tadinya cerah mula dilitupi awan mendung. Aku yang mencangkung mendongak kepala memandang sekawan camar berterbangan. Sedang ralit merenung keindahan alam, mataku tertancap pada satu wajah yang dirasakan dekat sekali. Jaraknya cuma lima inci dari mukaku. Anjing!

“Gong! Gong!” gonggongnya sambil memandangku.

Spontan badanku berundur lalu terduduk dek terkejut dengan kemunculan anjing sedekat itu. Haiwan ini di luar pagar rumah, tapi kepalanya menjengul ke dalam. Aku bangun cepat-cepat sambil meratib dengan sumpah seranah. Geram sungguh!

“Shuh!!! Shuh!!! Pergi jauh-jauhlah kau, anjing!” Aku menghalau.

Makin geram jadinya bila anjing itu tidak berganjak. Ah, bentuk tubuh kurus anjing ini aku cam. Ini anjing yang menggonggong malam-malam buta tempoh hari. Ketika malam pertamaku di rumah ini. Sehingga hari ini setelah sebulan di sini, hanya anjing liar seekor ini yang aku pernah lihat. Bila diamati betul-betul, tubuh anjing kurus kering itu dibaluti bulu kusam dan nipis berwarna coklat bertompok-tompok putih.

“Dia lapar tu!” kata suamiku yang baru muncul.

Aku menoleh ke arah suamiku yang sedang berjalan sambil menjinjit sesuatu. Makanan anjing?

“Kan saya selalu beli makanan untuk kucing liar,” jawab suamiku seperti memahami persoalan di benakku.
Dia membuka pintu pagar lalu mencurah makanan ke dalam bekas.

“Tapi tu anjing. Bukan kucing!” bentakku tapi suamiku buat-buat tidak dengar.

Anjing itu merenung suamiku beberapa saat sebelum berani menyuakan mulut ke bekas lalu makan dengan lahapnya. Aku baling sudip tangan ke tanah sekuat hati sebelum melangkah masuk ke rumah.

“Takkanlah awak marah saya sebab bagi makan anjing?” soal suamiku yang baru saja melangkah masuk rumah.

“Masalahnya, awak dah buat anjing tu melekat di rumah ni. Saya tak suka.”

“Tak baiklah kalau kita biar anjing tu kelaparan. Awak ingat tak masa kita di Jepun? Di stesen tren Shibuya, ada tugu anjing Hachiko. Anjing tu setia—”

Belum sempat suamiku habiskan kata-kata, aku memotong.

“Tolonglah! Awak dah cerita fasal Hachiko lebih 100 kali. Tak ada kaitan pun dengan isu sekarang ni. Saya tak suka anjing dekat dengan rumah kita. Sudahlah menggonggong setiap masa!”

***

Aku mengelap keringat di dahi. Dua lelaki bonceng motosikal itu masih mengekori. Sejak di taman lagi mereka nampak mencurigakan; memerhati dan mengekori aku dengan jarak tidak berapa jauh. Aduh, aku yang masih pura-pura tidak perasan kehadiran mereka dan kononnya masih ralit joging sebenarnya hampir kebuntuan. Mahu berlari ke arah pondok pengawal, terlalu jauh pula.

Malangnya, persekitaran rumah ini sunyi sepi tanpa sesiapa. Mungkin kerana sekarang musim cuti. Aku melajukan langkah ke arah rumahku. Ya, sudah tidak jauh dari rumah. Dan ketika tanganku menggigil cuba membuka pintu pagar rumah, enjin motosikal kedengaran begitu hampir, mereka sudah berhenti di belakangku.

“Gong! Gong! Gong! Gong!” Muncul gonggongan anjing tiba-tiba.

Lantas aku menoleh. Anjing liar itu sedang menggonggong ke arah dua lelaki bermotosikal yang nampak jelas berniat tidak baik terhadap aku. Mungkin peragut! Kalau tidak, kenapa dia mengekori aku sejak tadi, kemudian berhenti di hadapan rumahku dan kini sedang panik dengan gonggongan anjing lalu meluncur laju pergi.

Sebaik susuk motor hilang, si anjing berhenti menggonggong. Sudah dua minggu suamiku berkerja di luar kawasan, jadi sudah lama juga dia tidak berikan si anjing ini makanan. Sedang aku memandang anjing liar dengan lidahku yang masih kelu, muncul salakan dari arah lain tiba-tiba.

“Wuf! Wuf! Wuf! Wuf!” Nyaring dan Bertalu-talu.

Spontan aku menoleh. Ada seekor lagi anjing menyalak tidak jauh dari sini. Tapi anjing itu berbeza. Tubuhnya kecil dan bulunya cantik sekali. Tali longgar melingkari leher anjing kecil itu dituntun oleh seorang gadis Cina. Ya, dua orang gadis di situ. Mungkin sedang bertuntun anjing belaan yang mahal jalan-jalan di persekiraran rumah. Malangnya anjing kecilnya agak terganggu dengan kehadiran anjing liar yang kaku berdiri tidak berbuat apa-apa itu.

“Haha! Dia takut! Shuh! Shuh! Jangan kacau…” kata gadis itu sambil menghalau anjing liar supaya menjauh.

Dia maksudkan anjing kecilnya ketakutan dengan anjing liar, padahal yang sedang mengamuk hendak terkam ke arah mangsa itu adalah anjing kecil miliknya. Bahkan salakan itu tidak henti-henti. Aku diam tanpa sepatah kata.

Nampaknya anjing liar makin ketakutan dengan gerak tubuh terundur-undur. Sempat mata haiwan itu bertaut pandangan denganku. Dia tidak melawan walau dengan gonggongan sekalipun. Mata itu, mata yang kasihan. Ia sepertinya sedang tahu diri akan kedudukannya di dunia ini. Ada rasa simpati menyelinap ke sanubariku, terhadap si anjing liar yang selama ini aku benci.

Nampaknya kehidupan anjing juga berkasta. Ya, kehidupan si anjing kecil itu lebih baik; dijual beli dengan harga tinggi, diberi makan bercukupan, disediakan rumah dan mainan, dibelai dan dimanjakan. Berbeza dengan anjing liar yang hidup mengemis, dihina dan dicaci!

***

Malam ini sayu. Kejadian petang tadi merenggut waktu tidurku hingga tibanya dinihari. Aku menanti gonggongan anjing liar yang mengganggu tidurku pada malam-malam sebelumnya. Anjing yang kerap kali menjadi asbab perbalahanku dengan suami mutakhir ini.

“Gong! Gong! Gong!”

Sekonyong-konyong gonggongan itu kedengaran. Tapi kali ini yang menerpa ke telingaku bukan lagi gonggongan yang bingit, sebaliknya gonggongan yang melankolik. Aku hiba.

“Terima kasih, anjing,” ucapku sepatah dalam genangan air mata.

 

 


Pengarang :