PBTSELANGOR

MPAJ anjur kempen hentikan pembaziran makanan sepanjang Ramadan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pembelian makanan khususnya juadah berbuka melebihi keperluan menyebabkan peningkatan sisa makanan sebanyak 40 peratus akibat pembaziran makanan.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata tindakan itu antara faktor menggalakkan kehadiran haiwan perosak seperti lipas, lalat dan tikus di kawasan perumahan dan bazar Ramadan.

“Pembaziran makanan ini menyumbang kepada pencemaran alam sekitar daripada pembuangan sisa makanan.

“Malah ia turut meningkatkan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim,” kata agensi itu menerusi Facebook hari ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata bagi menangani masalah itu MPAJ menganjurkan kempen menghentikan pembaziran makanan sepanjang Ramadan ini.

Kempen dilaksana di bawah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar MPAJ dengan memberi kesedaran serta mendidik masyarakat khususnya warga Ampang Jaya supaya menghargai makanan dengan menyemai budaya tidak membazir.

“Sempena Ramadan yang mulia ini, ayuh didik diri kita menghargai makanan dengan menyemai budaya tidak membazirkan makanan.

“Amalkan perbelanjaan berhemah, hentikan pembaziran makanan. Bersama raikan Ramadan dengan lebih lestari,” katanya.

 


Pengarang :