Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan (tengah) mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan pihak berkuasa tempatan itu di Dewan Raja Mahadi, Klang pada 27 April 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

MPK anjur pertandingan cipta logo, tawar hadiah wang tunai

SHAH ALAM, 27 APRIL: Majlis Perbandaran Klang mempelawa orang ramai menyertai pertandingan mencipta logo dan bendera sempena naik taraf pihak berkuasa tempatan itu kepada status bandar raya.

Yang dipertuanya Noraini Roslan berkata hadiah wang tunai RM2,000 serta sembilan sagu hati bernilai RM200 ditawarkan kepada pemenang.

“Syarat pertandingan dan borang penyertaan boleh  dimuat turun menerusi laman web rasmi MPK.

“Tarikh tutup penyertaan pada 8 Mei dan untuk maklumat selanjutnya boleh menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat,” katanya ketika berucap pada mesyuarat penuh MPK yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook Live MPKlang hari ini.

Terdahulu, Noraini memaklumkan MPK dijangka mencapai status bandar raya pada 23 November ini.

Beliau berkata MPK memberi tumpuan kepada pembangunan di bandar Klang sebagai persediaan mencapai status bandar raya.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi MPK termasuklah keperluan menaiktaraf prasarana bandar diraja terutama bangunan lama.

“Justeru, kerjasama semua pemegang taruh sangat diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan cekap serta berintegriti supaya kemajuan diperolehi kelak tidak mengorbankan alam sekitar, budaya dan warisan bandar Klang ini,” katanya.


Pengarang :