Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau meninjau Kompleks Pasar Besar Meru, Klang pada 7 April 2023. Foto Facebook Ganabatirau
AGENDANASIONAL

MPK digesa tutup segera gerai haram diusaha warga asing di luar Pasar Besar Meru

Oleh AZIAN AZIZ

KLANG, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) digesa menutup segera gerai-gerai haram dipercayai diusahakan warga asing di luar Kompleks Pasar Besar Meru, di sini.

Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau berkata premis yang beroperasi di parkir dan bahu jalan itu mengganggu lalu lintas di kawasan pasar tersebut.

“Hari ini bila kita datang semua gerai tu tiada tetapi hakikatnya payung-payung mereka memenuhi kawasan tempat letak kereta dan jalan raya di luar Pasar Besar Meru ini setiap hari,” katanya.

Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan bercakap kepada media selepas meninjau Kompleks Pasar Besar Meru, Klang pada 7 April 2023. Foto FB Ganabatirau

Terdahulu EXCO Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin bersama Yang Dipertua MPK Noraini Roslan meninjau pasar tersebut hari ini.

Ganabatirau berkata masalah gerai dalam pasar yang di ‘ali baba’ kepada warga asing juga perlu ditangani segera oleh MPK.

“Saya bukan anti warga asing tetapi pasar ini adalah bangunan yang disubsidi Kerajaan Negeri dan MPK untuk warga tempatan yang kurang mampu untuk berniaga bukan untuk warga asing

“Banyak gerai di dalam pasar ini telah di ‘ali baba’ kepada warga asing dan ini tidak boleh dibiarkan dulu mereka pekerja tetapi sekarang mereka pula jadi peniaga,” katanya.

Ganabatirau turut berharap MPK meningkatkan prasarana seperti longkang dan jalan di pasar berkenaan untuk kemudahan peniaga dan pengunjung.

“Isu paling penting ialah membina tandas di blok C memandangkan tandas di blok bersebelahan sentiasa dikunci atau rosak.

“Saya janji kalau MPK buat surat (untuk minta bajet) saya akan bawa kepada Menteri di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan perkara yang saya nyatakan juga saya telah bawa ke Parlimen,” tambahnya.


Pengarang :