BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK pelawa warga Klang meriahkan rumah terbuka Aidilfitri Ahad ini

SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mempelawa penduduk di daerah berkenaan memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri di Padang Taman Sri Kerayong, Klang pada 30 April ini.

Yang dipertuanya Noraini Roslan berkata program bermula jam 8 hingga 11 malam diadakan serentak dengan program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijadual berangkat ke majlis ini.

“Justeru, saya mempelawa semua penduduk di Klang khususnya beramai-ramai hadir ke rumah terbuka ini yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat penuh MPK yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook Live MPKlang semalam.

Noraini berkata pihaknya menyasarkan seramai 10,000 tetamu dijangka menghadiri program itu pada Ahad ini.

Program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut pada setiap minggu sepanjang Syawal bermula 28 April ini bertempat di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang.

Program yang akan menjelajah ke setiap daerah negeri ini seterusnya dianjurkan di padang taman awam, Hulu Bernam, Hulu Selangor pada 29 April.

Ia diteruskan pada 5 Mei di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat, tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Seterusnya Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei), padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan tapak Uptown Sri Gombak (14 Mei) yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :