Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berucap ketika majlis perasmian Kuanter Bersepadu dan pelancaran sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di Menara MPKj pada 28 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPKj perkenal tempat letak kereta dua jam bermula 1 Jun

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 19 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan memperkenalkan Zon Parkir Dua Jam bagi menambah baik ketersediaan tempat letak kereta di bandar itu terutama pada waktu puncak bermula 1 Jun depan.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata sebanyak 152 petak disedikan yang melibatkan lokasi tumpuan umum termasuk kawasan komersial dan sering ada kes ‘clamping’ telah dipilih.

“Pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat melibatkan 12 kawasan dan fasa pertama yang bermula 1 hingga 14 Jun depan merupakan tempoh pengenalan serta pembelajaran kepada orang awam sebelum penguatkuasaan sepenuhnya pada 15 Jun.

“Ia melibatkan 19 petak tempat letak kereta yang ditandakan dengan garisan berwarna oren di Jalan Tun Abdul Aziz,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat MPKj di Menara MPKj di sini semalam.

Menurut Najmuddin, kadar bayaran Zon Parkir Dua Jam ini adalah 50 sen bagi setiap setengah jam atau sebahagian dan tempoh kuat kuasa adalah bermula 8 pagi hingga 6.30 petang kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Tiada pelanjutan tempoh dibenarkan selepas dua jam berakhir dan pemilik kenderaan hendaklah segera beredar setelah tamat tempoh.

“Zon Parkir Dua Jam hanya boleh digunakan semula selepas sejam daripada tempoh tersebut,” jelasnya.

Najmuddin berkata bayaran bagi penggunaannya hendaklah menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP), FlexiParking, Touch N Go Wallet dan JomParking sahaja serta tidak dibenar menggunakan pas bulanan atau bayaran harian.

Sebelum ini, beberapa pihak berkuasa tempatan telah melaksanakan zon parkir dua jam itu antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 22 Mac lalu.


Pengarang :