Operasi bersepadu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang menjalankan tindakan penguatkuasaan penutupan tapak pembuangan sampah tanpa kebenaran di Twin Palm Sungai Long pada 20 Disember 2022. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

MPKj sita, kompaun 73 lori di tapak sampah haram dari Januari lalu

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 73 lori serta mengeluarkan 73 kompaun dalam operasi gempur tapak sampah haram dari Januari hingga 14 April lalu.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata daripada jumlah lori itu 58 disita di kawasan tapak sampah haram yang baru atau belum dikenal pasti pemiliknya di sekitar Hulu Langat.

Menurutnya, 15 lori lagi disita di kawasan tapak sampah haram yang dikenal pasti iaitu di Kolam Air Panas, Sungai Serai, Hulu Langat melibatkan lapan lori; Jalan Kuari, Sungai Long, Hulu Langat (3); Lot 908 Taman Universiti, Kajang (2); Rinching Hulu, Semenyih (1) dan Taman Pusara Twin Palms, Cheras (1).

“Kompaun dikeluarkan bagi kesalahan pencemaran alam sekitar di bawah Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat MPKj di Menara MPKj hari ini.

Najmuddin berkata jumlah lori yang disita di kawasan tapak sampah haram yang sudah dikenal pasti itu semakin berkurangan disebabkan MPKj menjalankan operasi statik di pintu masuk tapak tersebut.

“Satu tapak sampah yang tidak aktif lebih daripada tiga bulan (tiada kegiatan pembuangan sampah haram berlaku) iaitu tapak sampah haram Desa Budiman akan digugurkan daripada senarai operasi gempur MPKj,” katanya.

Katanya MPKj akan terus komited dalam membanteras kegiatan pembuangan sampah haram bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan pentadbirannya.


Pengarang :