PBTSELANGOR

MPKL tutup jalan 10 hari, beri laluan persiapan rumah terbuka Aidilfitri 7 Mei

SHAH ALAM, 28 ARPIL : Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menutup sementara beberapa jalan bagi membuat persiapan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri yang dijadual berlangsung pada 7 Mei.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan bermula 1 Mei jalan sekitar tapak pasar malam dan Jalan Wira 2, Taman Perwira mula ditutup selama 10 hari.

“Mohon kerjasama orang awam untuk menggunakan laluan alternatif sehingga program selesai. Kerjasama anda amat kami hargai, terima kasih,” maklum MPKL di Facebook.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri peringkat Kuala Langat akan diadakan pada 7 Mei ini di Taman Perwira, Sijangkang mulai jam 8 hingga 11 malam.

MPKL turut mempelawa orang ramai untuk hadir memeriahkan rumah terbuka itu dengan pelbagai juadah raya disediakan kepada pengunjung.

Selain persembahan kebudayaan kumpulan Lantera Cilik serta Adik Shahadad, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan penyanyi Ara Johari dan Roy.

Berlangsung di sembilan daerah, Jelajah Kita Selangor Aidilfitri membuka tirai malam ini di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang, diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April) dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April)

Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dan boleh segera dipohon.


Pengarang :