PBTSELANGOR

MPS kenal pasti 9 tapak perkhemahan masih belum mendaftar

Oleh AZIAN AZIZ

SELAYANG, 1 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti sembilan lokasi tapak perkhemahan di kawasan pentadbirannya yang masih belum mendaftar.

Timbalan Yang Dipertuanya berkata MPS masih menunggu kesemua pengusaha tapak perkhemahan berkenaan untuk mendaftar memandangkan tarikh tutup pendaftaran berakhir semalam.

“Setakat ini terdapat 11 lokasi tapak perkhemahan di kawasan MPS dan dua daripadanya telah mempunyai permit dan lesen perniagaan.

“Yang sembilan lagi kita masih tunggu maklum balas pengusahanya memandang hari ini (semalam) hari terakhir mereka mungkin daftar petang ini atau mungkin Isnin depan,” kata Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Beliau berharap semua pengusaha tapak perkhemahan tidak sekadar mendaftar tetapi melaksanakan peraturan yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kalau setakat mendaftar tak dapat selesaikan masalah.

“Mereka juga perlu pastikan adakah kawasan itu selamat, tempat itu sesuai, ada jalan keluar masuk, sekiranya ada kecemasan boleh ke pasukan keselamatan masuk…memang kena periksa betul-betul,”katanya.

Bermula 1 Februari lalu, semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin keselamatan pengunjung susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan akan dikuat kuasa untuk menjamin keselamatan nyawa.

 


Pengarang :