Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Adi Faizal Ahmad Tarmizi. Foto FACEBOOK MPS
PBTSELANGOR

MPS terus pantau, puas hati peniaga patuh pakai pelitup muka

OLEH AZIAN AZIZ

SELAYANG, 1 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meneruskan usaha mendidik penjaja dan pengendali makanan mengenai pematuhan pemakaian pelitup muka pada minggu pertama Ramadan ini.

Timbalan Yang Dipertuanya Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan maklum balas dan kadar pematuhan terutama dalam kalangan peniaga makanan di pasar malam dan bazar Ramadan.

“Di peringkat MPS memang kita dah laksanakan dan menjadi kewajipan pengendali makanan memakai pelitup muka bagi menjamin kebersihan namun masih ada yang tidak patuh…biasanya yang berniaga seorang.

“Bagaimanapun jumlahnya terlalu sedikit,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MPS Bilangan 3/2003 di sini semalam.

Adi Faizal memberitahu bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi seperti saranan Kerajaan Negeri, pihaknya menjalankan pemeriksaan berterusan dan amaran diberikan terhadap mereka yang melakukan kesalahan kali pertama.

Menurutnya, MPS akan mengeluarkan notis atau kompaun untuk kesalahan kedua dan jika masih berdegil tindakan menghenti atau tidak membenarkan mereka berniaga dikenakan dalam tempoh tertentu sehingga peraturan itu dipatuhi.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri menguatkuasakan arahan pemakaian pelitup muka dalam kalangan penyedia dan pengusaha restoran di Selangor bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.


Pengarang :