Orang ramai tidak melepaskan peluang membawa keluarga berbuka puasa bersama-sama sempena cuti hujung minggu di padang Dataran Shah Alam pada 2 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mufti: Jangan terburu-buru berbuka, wajib ganti jika salah waktu

SHAH ALAM, 14 APRIL: Umat Islam dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin melalui sumber berautoriti atau sahih, kata mufti Selangor.

Dato’ Dr Anhar Opir menjelaskan hal itu bagi mengelakkan puasa seseorang terbatal terutama yang bergantung kepada alatan seperti jam, takwim mahupun aplikasi yang bersifat sangkaan.

“Sebaiknya hendaklah dipastikan terlebih dahulu waktu berbuka puasa benar-benar masuk. Hal ini kerana tidak salah melewatkan sedikit waktu berbuka bagi memastikan waktu masuk secara yakin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan puasa seseorang terbatal jika tersalah berbuka awal kerana mengikut waktu solat pada aplikasi tertentu dan wajib mengqada (mengganti) semula.

“Meskipun kesalahan ini tidak menyebabkan seseorang itu berdosa, mereka hendaklah menggantikan puasa yang terbatal ini selepas Ramadan,” katanya lagi.

Dr Anhar turut menasihatkan semua pihak supaya memastikan jam yang digunakan tepat mengikut waktu piawai tempatan yang disahkan Sirim melalui laman sesawang https://mst.sirim.my/.


Pengarang :