Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri parlimen Shah Alam 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 29 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri pertimbang tawar Rumah Selangorku kepada penduduk Kampung Koskan Tambahan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menawarkan Rumah Selangorku kepada penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah di Batang Kali yang diarah mengosongkan kawasan terbabit Sabtu lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari prihatin terhadap nasib bakal dialami penduduk yang tinggal berhampiran rizab sungai di kawasan berkenaan susulan ada sebahagian dari mereka belum menerima ganti rugi.

“Setakat dimaklumkan, yang datang 12 orang (serah memorandum) adalah mereka yang tidak menerima (ganti rugi). Jadi Kerajaan Negeri mungkin boleh tawarkan Rumah Selangorku atau rumah mampu milik.

“Kita kena bergantung kepada fakta. Kerajaan Negeri juga bersedia menjadi perantara kepada penduduk dan wakil syarikat supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tiba pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan Kota Anggerik di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 29 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan Kota Anggerik di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menafikan Kerajaan Negeri memberikan geran tanah kepada penduduk di kawasan terbabit seperti didakwa sebelum ini berikutan ia hak milik persendirian sejak 133 tahun lalu.

“Tak (dakwaan tanah di rizab sungai diberikan kepada penduduk)… Di situ rizab sungai, kita memang ada dasar (rizab sungai) tak boleh diberikan kecuali untuk kawasan membina tebatan banjir.

“Saya akan semak balik dakwaan itu. Untuk pengetahuan, kita memang tidak pernah ada kelulusan untuk (pemilikan) rizab sungai,” jelasnya.

Semalam, Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor berkata dakwaan penduduk di kawasan berkenaan bahawa Kerajaan Negeri sudah memberi pemilikan tanah rizab sungai kepada sebuah syarikat adalah tidak benar.

Mohamad Hanafe Basri menjelaskan tanah rizab sungai dimaksudkan dan tanah milik lot persendirian (Lot 4465 GRN 322912) yang menjadi tapak kediaman penduduk adalah dua tapak berbeza.

Berdasarkan semakan, tapak kediaman itu telah diberi pemilikan sejak 133 tahun lalu iaitu 21 Jun 1890.

Kelmarin, lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan menyerahkan memorandum kepada Amirudin yang diterima Penolong Setiausaha Bahagian Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Norbaini Zainuddin selepas menerima notis pengusiran sehari sebelum dan pagi Syawal lalu.


Pengarang :