BUDAYARENCANA

Orang padang

Oleh Abdullah Hussaini

Semua kerusi dan meja penuh. Tiap orang mengenakan seluar pendek, kasut sukan dan singlet. Tiap orang berlehet peluh, berbual sambil mengunyah roti canai dan menatal henfon. Patutlah, hujung minggu. Semua pergi bersenam, berjoging. Bagaimana saya boleh terlupa? Saya meramas-ramas perut dengan penuh tidak pasti, antara risaukan lapar atau gelabirnya di sebalik baju. Saya masuk ke dalam, mencelahi meja dan kerusi. Penuh. Tidak ada pilihan kecuali duduk di suatu meja yang hanya ditempati seorang lelaki berkopiah.

“Boleh duduk?” tanya saya sambil menarik kerusi.

Lelaki berkopiah mengangkat kepala dan angguk. Saya duduk. Dekat kakinya ada beberapa beg jinjing yang dipenuhi piala, pingat dan plak. Saya melaung “teh satu, roti satu!”

Dua tiga kali melaung baru terdengar jawapan. Harapnya kali ini mereka tidak silap menghantar pesanan lagi.

“Setahun order baru sampai.” Lelaki berkopiah bersuara. Dia mengalih pandangannya dari henfon dan sengih, kemudian menggeleng. Saya amati wajahnya. Tidak pernah nampak dia sebelum ini.

Dia menunjukkan cawan tehnya dan kata, “tak pernah aku minum mamak, order punya lambat begini.”

“Dah mati kebulur baru siap agaknya,” balas saya, sekadar berbasa-basi, berhenti sejenak kemudian menyambung “biasa minum sini?”

“Eh tidak. Baru pindah.”

“Ooh, patutlah.”

“Hari ni baru hari kedua duduk sini.”

Kami berbual seketika. Tentang cuaca, tentang kepadatan penduduk, tentang kesesakan jalan dan kedai-kedai. Dia ada empat orang anak. Tiga lelaki, seorang perempuan. Saya lebih banyak menjawab soalan-soalannya. Perbualan biasa antara seorang penduduk baru sesuatu tempat dengan penduduk yang sudah lama tinggal.

“Tahu di mana pusat recycle?”

Saya cuba mengingat, dan kata, “cuba pergi dekat balai polis. Rasanya ada satu kat situ, sebelah dia.”
Teh masih belum sampai. Saya melaung sekali lagi dan terkocoh-kocoh pekerja datang membawa teh. Roti canai belum siap, katanya meminta maaf.

Saya beritahu dia, di kawasan ini ada sembilan restoran mamak dan tujuh daripadanya terletak di lot hujung dan kesemuanya kalau kita pesan air selalu silap hantar. Dia juga merungut. Tidak ada restoran selain restoran mamak di sini. Kurang gemar pada masakan jenis mereka. Mata saya tak lepas memandang beg-beg di kakinya.

“Ini ke yang nak dibuang?” tanya saya.

“Ha’ah. Sebelum ni di rumah lama, lagi banyak. Penuh loteng rumah. Ini saki-bakinya.”

“Banyak. Aktif bersukan masa muda.” Saya meneka.

Namun wajahnya berubah sedikit. Saya pula yang terkejut. Adakah sebab dia anggap soalan saya satu serangan kerana tubuhnya gempal lebih kurang saya, atau, dia fikir pertanyaan bersahaja itu sebagai memandang rendah kerana menyebutkan “masa muda”?

“Kamu tahu ada empat S yang merosakkan orang kita?”

“Empat S?” Saya mengerut dahi.

Dia memandang sekeliling dan kata, “tengok.” Saya ikut pandang. Tak ada apa-apa.

Sports, science, sex dan, satu lagi… saya terlupa yang lagi satu.”

Saya dapat menghidu apa yang akan dibualkan seterusnya. Saya tanyakan, “jadi, ini agenda musuh kita?”

“Yang penting sokan telah merosakkan anak-anak saya.” Dia sebut sokan, bukan sukan seperti yang biasa sebut orang.

“Apa yang jadi?”

“Mereka terlebih aktif. Sampai tinggal pelajaran, keputusan periksa rendah. Anak sulung dapat wakil negeri main hoki. Berapa bulan dia tinggal sekolah? Latihan sana, latihan sini. Anak kedua, wakil negara pecut seratus meter. Matematik dan sainsnya hancur. Yang ketiga, main ragbi. Pun sama. Paling teruk yang bongsu. Perempuan tu, tapi suka sokan renang. Dah lah yang lelaki semua pakai seluar pendek, ketat. Perempuan lebih teruk lagi!”

Panjang lebar dia menerangkan. Nampak bersungguh perasaan geram dan kecewa pada wajahnya. Tapi, saya pun mula berasa tidak senang. Saya berfikir-fikir untuk memilih alasan serta pilihan perkataan yang wajar bagi menjawab penegasannya. Dalam keadaan sebegini, tindakan itu sukar. Perasaan lebih dahulu datang sebelum kemunasabahan.

“Itu kan sejenis minat, passion kata orang. Susah nak ketepikan daripada mereka. Lagi pun zaman sekarang ni, jadi atlet sudah terjamin, tidak macam dulu lagi. Ada peluang tajaan, peluang perkembangan kerjaya dan macam-macam lagi.” Saya terpandang kembali beg-beg jinjingnya.

Dia diam sejenak, seperti hendak mengawal sesuatu keluar daripada mulutnya. Saya mengerling jam dinding. Sudah pukul lapan setengah.

“Sebagai bapa, nak pula zaman sekarang, kita kena jaga anak-anak kita. Takkan nak tengok mereka mendedah badan sana sini, dan tak ada pelajaran? Sokan lah macam mana pun, manusia ini akhirnya cuma mulia dengan ilmu. Sebelum jadi apa-apa dan sebelum tambah teruk, aku kena cantas awal-awal. Aku ni bapa. Kalau menjaga anak tak reti, rosak umat ni. Rosak. Kamu kena ingat tu…”

Dia sudah guna kata ganti diri “aku”. Pandangan matanya yang bersinar-sinar jatuh ke dalam mata saya.

Apakah dia faham penegasannya itu? Belum sempat menjawab, roti canai tiba. Saya bangun serta-merta, keluarkan dompet, keluarkan lima ringgit dan meletak dengan keras di atas meja sehingga ada yang memandang kami. Saya pandang dia, hanya pandang. Mulut terkatup rapat dan gigi bergemertap.

Saya keluar kedai dan masuk ke dalam kereta. Adakah saya marah pada dia sebetulnya? Saya sedut nafas dalam-dalam. Tidak. Saya tidak marah kerana dia membuang piala-piala dan pingat itu. Saya tidak marah kerana kefahamannya yang berbeza daripada saya. Ada semacam denyutan, dan denyutan ini mengalir dari tapak kaki sepantas kilat naik, tiba di kepala. Saya terkenang wajah ketat arwah ayah menarik baju saya, mengheret keluar dari padang bola setelah mengetahui saya mewakili pasukan sekolah tanpa kebenarannya.

 


Pengarang :