Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Medan Batu Caves, Gombak pada 2 April 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai saran lokasi jualan murah Sabtu, Ahad ditambah

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 2 APRIL: Program jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang dibuat pada hujung minggu memberi peluang kepada golongan bekerja untuk keluar berbelanja.

Penghantar air mineral, T Jayanthimalah, 49, dari Taman Samudera, Batu Caves berkata dia baru sempat berkunjung ke JER hari ini, kerana bekerja dari Isnin hingga Sabtu untuk menghantar air mineral kepada pelanggan.

T Jayanthimalah. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

“Jualan murah memang kerap diadakan di sekitar sini tetapi selalunya dibuat pada hari bekerja, jadi peluang saya agak terhad.

“Saya mencadangkan penganjur menambah lokasi jualan pada Ahad. Ini untuk beri peluang kepada mereka yang bekerja pada hari biasa untuk berbelanja pada jualan murah,” katanya.

“Ini kali pertama saya berbelanja di JER kerana dibuat pada hari Ahad dan saya berterima kasih kerana barangan asas yang ditawarkan memang murah,’’ katanya ketika ditemui di program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Medan Batu Caves di sini.

Tee Bee Lee, 51, dari Selayang Baru turut berterima kasih kerana JER diadakan pada Sabtu dan Ahad, namun turut berharap lokasi jualan ditambah.

Tee Bee Lee. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

“Saya jaga cucu sebab anak saya bekerja jadi jarang dapat keluar pada waktu siang. Hari ini saya beli beras dan ayam kerana anak saya suka makan beras yang dijual di JER kerana rasanya sedap,’’ katanya yang telah berbelanja di JER beberapa kali sebelum ini.

Bagi Fauziah Haleemee Baba, 60, dari Taman Melawati jualan murah pada hari Ahad memberi peluang kepadanya berkunjung ke lokasi JER yang agak jauh dari rumah.

“Saya datang ke Medan Batu Caves kerana hari ini jalan tidak sesak. Saya beli tiga botol minyak masak kerana minyak masak ini tidak mudah berkeledak dan tidak bertukar warna selepas digunakan,’’ katanya yang telah tiga kali berbelanja di JER.

Fauziah Haleemee Baba. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei.


Pengarang :