Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengedarkan bubur lambuk kepada peniaga bazar Ramadan selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri di Taman Prima Saujana, Kajang pada 18 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pantau pesalah jalan raya dalam ops bersepadu Aidilfitri guna dron

HULU LANGAT, 18 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan pelbagai pendekatan penguatkuasaan sempena ops bersepadu Aidilfitri tahun ini termasuk penggunaan dron bagi memantau kesalahan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan berkata aset dron akan digunakan di lokasi tertentu setiap negeri bagi memantau dan merakam etika pemanduan tidak selamat pengguna jalan raya.

“JPJ menggunapakai dron untuk memastikan aspek keselamatan lalu lintas dan juga pesalah yang ingkar mematuhi peraturan ditetapkan khususnya di lebuh raya setiap negeri.

“Selain itu, antara penguatkuasaan lain termasuk penyamaran sebagai penumpang bas ekspres selain pemantauan di kawasan panas kemalangan,” kata Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2023 di tapak Pasar Ramadan Taman Prima Saujana Kajang di sini, hari ini.

Katanya JPJ menguatkuasakan tujuh kesalahan utama yang tidak dibenarkan kompaun sempena kempen keselamatan jalan raya dan ops bersepadu itu.

“Ia termasuk kesalahan memotong barisan, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.

“Selain itu, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya.


Pengarang :