EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman (tengah) bergambar bersama bekas atlet yang hadir ketika majlis iftar hargai jasa atlet di Dewan Majlis Kuala Selangor Saujana Utama pada 16 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PBT disaran sedia tempat bantu bekas atlet OKU penglihatan anjur muzik jalanan

KUALA SELANGOR, 16 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran menyedia tapak khas kepada bekas atlet OKU penglihatan negeri yang aktif dalam muzik jalanan atau busking.

EXCO sukan berkata inisiatif itu bagi membantu golongan terbabit yang kebanyakannya bergantung kepada aktiviti berkenaan untuk menambah pendapatan.

Mohd Khairuddin Othman mengakui menerima rungutan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) berhubung ketiadaan tapak khusus bagi bekas atlet cacat penglihatan menonjolkan bakat.

“Mereka ini cenderung bermain muzik secara busking bagi menghiburkan pelanggan, namun mereka tiada tempat khusus untuk menambah pendapatan.

“Saya janji untuk selesai masalah ini, jadi di pihak PBT saya harap sedia tapak kepada bekas atlet ini untuk teruskan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis iftar bersama 150 bekas atlet dan atlet para Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Saujana Utama di sini semalam.

Mohd Khairuddin berkata setakat ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sudah berbincang bagi menyediakan kemudahan berkenaan.

“Jadi kita harap PBT dapat menyediakan tempat sesuai bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti muzik jalanan.

“Antara tempat yang boleh disediakan ialah di bazar larut malam dan pusat beli-belah. PBT menyediakan tapak manakala daripada segi keperluan serta kos lain diuruskan Kerajaan Negeri,” katanya lagi.


Pengarang :