Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika merasmikan Pusat Setempat Pejabat Tanah dan Galian serta Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 4 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pegangan hartanah di Selangor tertinggi di Malaysia, hampir dua juta milikan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Selangor mempunyai pegangan atau pemilikan hartanah tertinggi di Malaysia dengan hampir dua juta milikan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1.2 juta membabitkan pemilikan komersial dan individu.

“Manakala, 500,000 pegangan dalam hak milik strata atau milikan bertingkat. Secara keseluruhan sebanyak 1.8 juta atau hampir dua juta pegangan hartanah di Selangor.

“Saya percaya dengan projek yang sedang berlangsung di seluruh Selangor pemilikan hartanah ini boleh capai dua juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun dari sekarang,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) Dr Yusri Zakariah(kiri) merasmikan Pusat Setempat Pejabat Tanah dan Galian serta Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 4 April 2023. Turut sama Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau merasmikan merasmikan Pusat Setempat (OSC) Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) dan pelancaran Hari Tanpa Tunai Pentadbiran Tanah Selangor di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Susulan Selangor mempunyai pegangan hartanah tertinggi, Amirudin berkata kewujudkan OSC PTGS  menjadi satu keperluan bagi membantu mempercepatkan pelbagai urusan berkaitan tanah.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berkaitan urusan penghantaran dokumen serahan tanah dan strata, pungutan perserahan dan pembayaran cukai tanah dan fi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap dengan pengubahsuaian OSC PTGS di tingkat satu bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat memberi keselesaan bukan hanya kepada pelanggan malah kakitangan juga.

“Saya berharap pejabat dan kaunter baharu ini dapat memberikan semangat lebih tinggi kepada warga kerja PTGS untuk melaksanakan tanggungjawab dan mempertingkatkan taraf kecekapan dan kualiti kerja mereka,” katanya.


Pengarang :