Mohd Syahidan Alias atau lebih dikenali Edan Syah berjaya memecahkan rekod Guinness World Records (GWR) kategori pakaian tradisional lelaki dalam TCS London Marathon 2023, London, United Kingdom pada 23 April 2023. Foto Facebook EDAN SYAH
AGENDANASIONAL

Pelari negara pecah rekod Guinness World Records acara maraton berbaju Melayu

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Pelari maraton negara Mohd Syahidan Alias melakar sejarah baharu dalam Guinness World Records (GWR) selepas muncul sebagai pelari terpantas bagi kategori pakaian tradisional lelaki pada acara TCS London Marathon 2023, Ahad lepas.

Mohd Syahidan, atau lebih dikenali sebagai Edan Syah, kelihatan teruja selepas mencatatkan masa dua jam 49 minit 22 saat dalam larian maraton sejauh 42 kilometer itu dengan berbaju Melayu lengkap beserta sampin dan songkok.

Beliau telah berkongsi detik bersejarah itu menerusi hantaran di laman Instagram rasmi miliknya.

“Alhamdulillah, misi tercapai. Kita telah mencapai misi di bawah tiga jam; sebagai Pemegang Rekod Dunia Guinness: Pelari Maraton Penuh (42.2 kilometer) Terpantas Berpakaian Melayu Tradisional (lelaki) dengan catatan masa 2:49.22 saat,” katanya.

Menurut hantaran sama, Edan Syah menzahirkan penghargaan kepada warga Malaysia di London yang setia menunggu dan memberi sokongan kepadanya walaupun terpaksa menunggu dalam keadaan hujan lebat serta kesejukan.

Menurut guinnessworldrecords.com, Edan Syah pernah mencatatkan rekod dunia di Festival Larian Blackmores, Sydney, Australia sebagai pelari maraton paling laju dalam kostum bendera negara dengan catatan masa 2:54 minit pada 2019.

– BERNAMA


Pengarang :