Pelumba berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri semasa menjalani latihan (motor pacing) sebagai persiapan bagi mewakili negara pada Sukan Komanwel 2022 yang dijadualkan berlangsung di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pelumba basikal trek wanita negara pecah rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang membawa pulang pingat gangsa acara pecut individu lelaki Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Milton, Kanada, semalam (Ahad).

Muhammad Shah Firdaus ternyata gagal menyaingi kehebatan juara pecut lelaki Sukan Komanwel 2022 dari Australia Matthew Richardson yang menumpaskannya 2-0 dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa, pada saingan yang berlangsung di Mattamy National Cycling Centre.

Wakil dari Trinidad and Tobago, Nicholas Paul muncul juara acara tersebut selepas menundukkan pelumba dari Poland, Mateusz Rudyk, juga dengan keputusan 2-0.

Sementara itu, pelumba wanita meningkat naik negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi apabila berjaya mencatatkan rekod kebangsaan baharu bagi acara pecut individu dengan catatan 11.057 saat (s) pada pusingan kelayakan.

Beliau memadamkan rekod 11.094s milik rakan sepasukannya, Anis Amira Rosdi yang dilakar tahun lepas di Nilai, Negeri Sembilan.

Biarpun berjaya melepasi peringkat kelayakan, Nurul Izzah bagaimanapun tidak berupaya mara ke peringkat seterusnya apabila tersingkir pada pusingan 1/16 di tangan pelumba Mexico, Yuli Verdugo Osuna.

Anis Amira turut ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan 1/16 oleh pelumba Lowri Thomas dari Great Britain.

Jumaat lepas, Nurul Izzah bersama Anis Amira dan Nurul Aliana Syafika Azizan yang beraksi dalam acara pecut berpasukan wanita mencatat 50.172s untuk memadam rekod kebangsaan lama mereka, 50.388s, yang dilakukan di Jakarta, Indonesia, Februari lepas.

-BERNAMA


Pengarang :