AGENDANASIONAL

Pemandu maut, lori terjunam ke dalam laut

IPOH, 5 APRIL: Seorang lelaki mati lemas apabila lori 10 tan yang dipandunya terjatuh ke laut di Terminal Maritim Lumut dekat Manjung, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan Mohd Azizi Zakaria berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu daripada pihak pelabuhan 5.30 pagi tadi dan operasi menyelamat turut dibantu anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkor.

Beliau berkata mangsa berusia 20-an berjaya dibawa naik pada jam 9.45 pagi tadi, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Sebuah lori 10 tan terjatuh ke dalam laut pada kedalaman kira-kira 11 meter. Kapal yang berdekatan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi penyelamatan dilakukan.

“Dua unit kren dari pelabuhan dalam tindakan untuk membawa naik lori berkenaan ke tebing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azizi berkata mangsa dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat dan operasi tamat sepenuhnya pada 10.13 pagi.

– BERNAMA


Pengarang :