Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 17 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penduduk DUN Banting dipelawa kunjungi enam jualan murah sehingga Mei

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 29 APRIL: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting dipelawa mengunjungi jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang bermula hari ini.

Wakil rakyatnya Lau Weng San berkata jualan barangan asas pada harga murah itu bakal berlangsung di enam lokasi sehingga pertengahan Mei.

“JER yang berehat sebulan kembali semula, pada akhir April dan juga bulan Mei bermula di KRT Taman Banting (29 April) dan Taman Suria Bandar Mahkota (30 April).

“Bulan depan pula JER akan berlangsung pada 2 Mei di Tapak Pasar Malam Sungai Rambai, Dataran Sam Kuan, Kampung Pulau (6 Mei), Flat Bandar Sungai Emas (10 Mei) dan Balai Raya Taman Yayasan Jenjarom (13 Mei),” kata Lau Weng San menerusi Facebook.

Tambahnya, orang ramai boleh kembali mendapatkan barang-barang keperluan asas pada harga murah sementara dalam musim perayaan ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :