EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han menyampaikan cek cura sumbangan Pejabat Penyelaras DUN Teratai bagi pembaikan tangki kepada Pengerusi JMB Kelompok Camar Mohd Khairul Annuar Mohd Suhaimi ketika majlis Iftar Perdana dan Jalinan Ihsan Wahana (JIWA) MPAJ di Flat Kelompok Camar, Ampang Jaya pada 13 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Penduduk lega, kebocoran tangki air selesai bantuan DUN Teratai, MBI

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG, 14 APRIL: Kebocoran tangki air di Flat Kelompok Camar, Kampung Tasek Permai di sini sejak dua bulan lalu selesai hasil bantuan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Penyelaras DUN Ng Sze Han berkata Pejabat DUN Teratai dan MBI masing-masing menghulurkan sumbangan RM10,000 dan RM13,000 untuk kos baik pulih tangki air dan saluran paip di flat berkenaan.

“Saya terima aduan masalah ini 11 Mac lalu daripada ahli keluarga salah seorang penghuni flat yang memaklumkan kebocoran tangki di tingkat atas bangunan itu menyebabkan penghuni tidak dapat menyidai baju akibat limpahan air dan koridor juga sentiasa basah.

“Saya hubungi Ahli Majlis Zon 19 Mohd Firdaus Babh dan memintanya mencari jalan penyelesaian dan beliau beritahu memang sedang mengendalikan masalah itu dengan kerjasama Badan Pengurusan Bersama (JMB) flat itu serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Iftar Perdana dan Jalinan Ihsan Wahana MPAJ di flat itu semalam.

Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Tempatan berkata tidak sampai sebulan selepas menerima aduan itu tangki air berkenaan telah siap dibaiki hasil bantuan dana Pejabat DUN Teratai dan MBI.

“Kini tinggal kerja membaiki saluran paip dan saya minta kerja itu disiapkan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu Pengerusi JMB flat berkenaan Mohd Khairul Annuar Mohd Suhaimi berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga masalah tangki air bocor itu selesai.

“Tangki air ini bocor sejak dua bulan lalu dan JMB sudah beberapa kali menampalnya namun kebocoran itu berulang.

“Pada bulan lepas (Mac) kebocoran tersebut menjadi semakin serius sehingga menyebabkan limpahan air yang banyak dan menyusahkan 800 penduduk selain mengakibatkan bil utiliti melambung,” katanya.

Mohd Khairul Annuar berkata pihaknya juga telah mengutip wang untuk membaiki kerosakan besar itu namun tidak cukup.

“Syukur kami dapat bantuan dana dan kini masalah sudah selesai,” katanya.


Pengarang :