Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 17 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengunjung jualan mega syukur dapat jimat beli barangan persiapan Aidilfitri

KUALA LANGAT, 18 APRIL: Pengunjung Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru di sini bersyukur kerana dapat berjimat untuk membeli barangan asas bagi persiapan memasak juadah Aidilfitri nanti.

Suri rumah, Rosmini Gaffar, 42, berkata penjimatan kira-kira RM30 hingga RM40 mungkin kecil buat orang lain, tetapi baginya ia amat bermakna.

Rosmini Gaffar, 42.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana melaksanakan program ini. Hari ini dengan RM55 saya dapat beli minyak, ayam, beras dan telur kalau di luar sudah pasti mahal lagi.

“Jadi dapatlah berjimat untuk sediakan makanan pada hari raya nanti. Diharap program ini diteruskan seperti biasa selepas Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pekerja kilang, Md Yunus Mislan, 55, berkata beliau sanggup beratur bagi mendapatkan barangan berkenaan walaupun dalam keadaan panas terik.

Md Yunus Mislan, 55. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita kena fahamlah, nak barang murah kena sabar beratur. Jimat banyak jika beli di sini, saya bukan bergaji besar malah saraan pun banyak, jadi sangat berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana anjurkan program sebegini,” katanya.

Jualan barangan keperluan asas murah secara mega sempena Aidilfitri dilaksanakan di 23 lokasi bermula 15 April hingga Khamis ini.

Program sama berlangsung hari ini di Wisma Kohijrah Seksyen 32, Shah Alam, dari jam 4 hingga 6 petang dan kemuncaknya dijadual secara besar-besaran di Petaling Jaya pada 20 April ini.

Inisiatif tersebut secara keseluruhan menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 17 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :