EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han mencuba perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Bandar Puteri Puchong baru-baru ini. Foto Ng Sze Han
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Perkhidmatan van transit percuma di Bandar Puteri Puchong dapat sambutan menggalakkan

SHAH ALAM, 5 APRIL: Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) secara percuma di Bandar Puteri Puchong mendapat sambutan menggalakkan sejak projek rintis itu dilaksanakan pada Mac.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han menyarakan penduduk sekitar untuk terus memanfaatkan inisiatif baharu Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah pergi dan balik pengguna pengangkutan awam.

“Bandar Puteri dipilih untuk projek percubaan kerana ia bandar yang cukup matang, lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bank, hospital, kawasan komersial, pasar raya kecil dan besar, stesen Transit Aliran Ringan (LRT), rumah teres dan rumah pangsa.

“Setakat ini sudah ramai yang muat turun aplikasi untuk kemudahan DRT dan sambutan semakin baik daripada penduduk serta peniaga,” katanya.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han mencuba perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) di Bandar Puteri Puchong baru-baru ini. Foto Ng Sze Han

Perkhidmatan DRT Bandar Puteri Puchong melalui 17 kawasan perumahan dan 20 hentian komersial antaranya stesen LRT Bandar Puteri dan Taman Perindustrian, Hospital Columbia Asia, bank, restoran serta tiga stesen perkhidmatan bas perantara sedia ada dalam zon.

Dilengkapi perisian pintar bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan, perkhidmatan pengangkutan berkenaan bakal diperluas ke DUN lain.

Pada 25 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023 memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa pengangkutan awam bawah program Selangor Mobiliti.

Sebanyak RM22 juta diberi kepada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneruskan pelaksanaan Bas Smart Selangor manakala RM3 juta lagi bagi pelaksanaan Selangor Mobiliti Fasa Pertama yang merangkumi perkhidmatan van DRT.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari perkhidmatan berkenaan akan melengkapkan ekosistem pengangkutan awam negeri dan berfungsi berdasarkan permintaan menerusi aplikasi penghalaan pintar, bukan seperti bas henti-henti.


Pengarang :