Selangor FC menentang Sri Pahang FC dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 15 April 2023. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Piala FA: Selangor FC tundukkan Sri Pahang FC 4-0

PETALING JAYA, 15 APRIL: Selangor FC mudah menjinakkan Sri Pahang FC 4-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya di sini malam ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 5,000 penyokong di laman sendiri, skuad kendalian Tan Cheng Hoe membuka tirai jaringan melalui pemain tengah Mukhairi Ajmal pada minit ke-41, sekali gus melengkapkan saingan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Merah Kuning terus meningkatkan serangan dan Mukhairi sekali lagi mengganda jaringan pada minit ke-59.

Pemain sayap Faisal Halim menambah derita skuad Tok Gajah apabila berjaya menghadiahkan gol ketiga selepas dilihat melakukan percubaan demi percubaan sepanjang perlawanan.

Anak buah Fandi Ahmad terus berputih mata apabila kapten Gergasi Merah Brendan Gan meledak gol keempat pada minit ke-71.

Perlawanan tamat selepas tambahan masa tiga minit.


Pengarang :