Orang ramai membawa pulang sebahagian barangan keperluan yang di beli pada Program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 Daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Gombak pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS raih RM220,000 hari pertama jualan mega sempena Aidilfitri

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 16 APRIL: Hari pertama Jualan Mega Ehsan Aidilfitri kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di tiga lokasi semalam raih RM220,000.

Ketua pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata jualan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor; Sungai Besar, Sabak Bernam dan Tanjung Sepat, Kuala Langat membabitkan subsidi RM138,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi di Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 Daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Gombak pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Lima barangan iaitu 15,000 ekor ayam, 2,700 kampit beras, 2,700 papan telur, 2,700 pek daging dan 1,350 minyak habis dijual di ketiga-tiga lokasi tersebut.

“Jualan yang sepatutnya berakhir pukul 8 malam ditutup sekitar pukul 3 petang kerana sambutan yang menggalakkan,’” katanya.

Ditemui pada Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Dataran Niaga Siantan, Selayang Mutiara di sini hari ini, Mohamad Khairil berkata barangan kering seperti gula, tepung dan beras pulut turut laris dijual.

Petugas PKPS membuat persiapan membungkus telur ayam sempena Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 Daerah Gombak di Dataran Niaga Siantan, Gombak pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu beliau turut menjangkakan barangan seperti ayam, telur, daging dan beras yang dijual di tiga lokasi Jualan Mega Ehsan Aidilfitri hari ini iaitu di Pandan Jaya, Setia Alam dan Selayang Mutiara habis dijual.

“Kita jangkakan untuk tempoh dua hari (semalam dan hari ini) 30,000 ekor ayam, 5,400 papan telur, 5,400 pek daging dan 5,400 kampit beras akan habis,”katanya.

Program jualan murah ini menyediakan bekalan ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :