Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada 28 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM jemput MB Kedah hadiri rumah terbuka Aidilfitri esok

SHAH ALAM, 28 APRIL: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijemput ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang berlangsung di Hotel Raia, Alor Setar esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau difahamkan Muhammad Sanusi sudah dijemput menghadiri majlis itu oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Tak apalah…saya sebelum ini juga tidak pernah menjawab Menteri Besar Kedah. Biar keadaan tenang sedikit, Syawal ini kita perlu mengeratkan silaturahim.

“Saya difahamkan beliau dijemput oleh pihak penganjur (Saifuddin) kerana Tuanku (Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) akan berangkat pada majlis berkenaan, jadi beliau pun dijemput,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh di sini hari ini.

Sebelum ini Sanusi memaklumkan tetap menghadiri majlis itu atas kapasiti menteri besar bagi mengiringi Sultan Kedah meskipun belum menerima sebarang jemputan rasmi.

Sementara itu, Anwar berkata persiapan penganjuran majlis berkenaan berjalan dengan baik mengikut jadual ditetapkan.

“Saifuddin beritahu semua (persiapan) baik. Ini menunjukkan usaha semua pihak yang dijalankan atas nama kerajaan,” katanya.


Pengarang :