Antara hidangan dalam Program Menu Rahmah yang dilancarkan di Pasar Raya Mydin Subang Jaya pada 31 Januari 2023. Foto Facebook Salahuddin Ayub
AGENDANASIONAL

PM: Kadar diskaun khas untuk pengusaha Menu Rahmah

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Kadar diskaun khas harga barangan mentah akan diberikan kepada pengusaha menu Rahmah bagi memastikan kelestarian inisiatif itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha menu Rahmah pada kadar diskaun khas.

“Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada para pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan menu Rahmah yang telah memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan amat menghargai sumbangan pengusaha menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi Madani untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

“Pada masa yang sama, kerajaan turut cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah,” kata beliau.

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melancarkan inisiatif menu Rahmah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutamanya golongan miskin.

– BERNAMA


Pengarang :