Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO negeri Mohd Khairuddin Othman mengaminkan doa selepas menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di Sungai Buloh pada 28 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM solat Jumaat bersama ribuan jemaah di Masjid Jamiul Ehsan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama ribuan jemaah di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini.

Ketibaan beliau sekitar jam 1.10 petang disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO negeri Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan.

Pemimpin nombor satu negara itu kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Amaran Jangan Kembali Buat Maksiat Selepas Ramadan’ yang disampaikan Imam 2 Abdul Hafiz Mohd Asari.

Abdul Hafiz dalam khutbahnya mengingatkan umat Islam supaya memelihara hati dan anggota badan dengan amal kebaikan selain menghindari maksiat serta kejahatan.

“Janganlah berubah ketaatan kepada Allah dengan kemaksiatan atas sebab bertukar masa, keadaan dan tempat. Jangan beranggapan Ramadan pergi, maka bebas apa sahaja hendak dibuat pada Syawal ini.

“Marilah kita sama-sama pada Syawal dan seterusnya sampai akhir hayat mengekalkan istiqamah dan semangat Ramadan dalam beribadah,” katanya.

Selepas solat, Anwar yang berbaju Melayu biru muda bersalaman dengan jemaah selain mengagih duit raya kepada kanak-kanak, sebelum beredar meninggalkan masjid jam 2.20 petang.


Pengarang :