Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sepang meninjau keadaan rumah yang rosak akibat ribut di di Apartment Angsana, Pulau Meranti pada 8 April 2023. Foto Facebook APM Sepang
AGENSISELANGOR

Polis: Pusat pemindahan tempatkan tujuh mangsa ribut dibuka di Dengkil

SEPANG, 9 APRIL: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balairaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Meranti, Putra Perdana, Dengkil dekat sini malam tadi bagi menempatkan mangsa kejadian ribut.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata PPS yang dibuka pada 10 malam itu menempatkan tujuh mangsa daripada satu keluarga.

“Keluarga itu ditempatkan di PPS itu selepas bumbung rumah mereka di Pangsapuri Angsana, Bukit Puchong 2, tercabut diterbangkan angin akibat kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan jumlah rumah yang rosak akibat ribut itu.

Terdahulu, media melaporkan lebih 20 lokasi di sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana Bukit Puchong 2, terjejas akibat ribut petang semalam.

Kejadian kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.

— BERNAMA

 


Pengarang :