EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bersama peserta mengacau dodol pada Program Kacau Dodol Vaganza Semenyih 5.0 di pekarangan Pasaraya CLC Semenyih pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program kacau dodol dirancang dalam skala lebih besar, tarik minat masyarakat

HULU LANGAT, 16 APRIL: Program gotong-royong kacau dodol akan dicadang untuk dilaksanakan dalam skala lebih besar pada masa depan, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata acara seperti program kacau dodol vaganza Semenyih 5.0 boleh diketengahkan sehingga ke peringkat negeri yang melibatkan banyak pihak dan menarik minat masyarakat.

“Jika sebelum ini kita pernah buat nasi ambeng dan sudah pun diwartakan sebagai makanan tradisi dan warisan Selangor, jadi mungkin program ini juga pada masa akan datang dibuat di peringkat negeri dan secara besar-besaran.

“Atau boleh juga diadakan (dalam bentuk) pertandingan di setiap daerah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kacau dodol vaganza Semenyih 5.0 di sini, hari ini.

Borhan berkata tradisi mengacau dodol harus dihidupkan bagi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman.

“Saya bimbang kalau tidak dipupuk semangat kerjasama terutama dalam kalangan belia, ia (penyediaan dodol secara tradisi) bakal pupus.

“Inilah salah satu cara bagi tujuan itu dan saya mahu anak muda mengamalkan semangat gotong royong seperti ini,” katanya.

Kira-kira 300 peserta dan sukarelawan mengambil bahagian dalam program kacau dodol vaganza Semenyih 5.0 melibatkan 20 kawah dodol.

Sebanyak 2,000 bekas dodol berjaya dihasilkan untuk diagihkan kepada peserta dan sukarelawan serta penduduk sekitar.

 


Pengarang :