Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim (tengah) menyampaikan cek cura sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid dan Surau di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 4 April 2023. Foto ihsan MPAJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Rai Ramadan, MPAJ hulur sumbangan kepada masjid, surau, rumah kebajikan

Oleh Shamz Johan

AMPANG JAYA, 4 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyumbang RM1,500 kepada 46 masjid dan surau jumaat sekitar Ampang Jaya sempena Ramadan.

Pihak berkuasa tempatan (PBTO turut membantu tujuh rumah anak yatim, rumah perlindungan dan pertubuhan kebajikan menerusi sumbangan berjumlah RM3,000 selain pelbagai barangan keperluan asas.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihak akan terus melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat sekitar Ampang Jaya.

“Melalui sumbangan ini, mereka dapat mengimarahkan lagi pelbagai program Ramadan seperti program sahur dan Tadarus Al-Quran,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas majlis penyerahan di sini, semalam.


Anak-anak dari rumah kebajikan sekitar Ampang Jaya bergambar bersama Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid dan Surau serta Majlis Iftar di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 4 April 2023. Foto ihsan MPAJ

Terdahulu lebih 80 anak-anak yatim turut dirai dalam Majlis Iftar Jamaei dan Penyerahan Sumbangan di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah.

“Kita beri pelbagai barangan keperluan seperti beras dan gula, ini adalah kesinambungan program Kongsi Rezeki yang dijalankan awal Ramadan lalu,” katanya lagi.

Pada majlis sama, anak-anak yatim diberi RM20 untuk berbelanja di bazar Ramadan bersebelahan dan turut menerima duit raya pada akhir majlis.

Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim (kanan, dua) bersama Setiausaha MPAJ Julaiha Jamaludin (kiri, dua) menyediakan pek bubur lambuk di bazar Ramadan Pandan Indah di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 4 April 2023. Foto ihsan MPAJ

Pengarang :