Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) menunaikan solat Maghrib ketika majlis berbuka puasa sempena perlawanan Piala FA Selangor FC dan Sri Pahang FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pda 15 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda berkenan buka puasa bersama 1,000 penyokong Selangor FC

PETALING JAYA, 15 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa sempena perlawanan Piala FA Selangor FC dan Sri Pahang FC hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Amir Shah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya di sini pada jam 6.45 petang disambut Datuk Bandar Petaling Jaya Mohd Azhan Mohd Amir dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon.

Dalam majlis itu, Baginda berkenan menyampaikan duit raya dan cenderahati kepada 90 anak yatim dari United Arakan Institute Malaysia, Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pertubuhan Baitul Lathofahuntuk tajaan Daikin Malaysia, Hijabista Hub dan Joma Malaysia.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 90 anak yatim dari United Arakan Institute Malaysia, Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pertubuhan Baitul Lathofah ketika majlis berbuka puasa sempena perlawanan Piala FA Selangor FC dan Sri Pahang FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pda 15 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tengku Amir Shah kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum makan bersila bersama kira-kira 1,000 penyokong, anak yatim termasuk pemegang taruh.

Baginda turut menunaikan solat Isyak dan tarawih sebelum menyerahkan memorandum persefahaman (MoU) kepada rakan kerjasama Soccer Schools.

Sejurus itu, Raja Muda berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bola antara skuad Merah Kuning dan Sri Pahang FC.

Program dengan kerjasama MBPJ dianjur bagi mengerat hubungan antara Raja Muda yang juga Pengerusi Selangor FC bersama semua pemegang taruh serta penyokong Red Giants.

Selain itu, program tersebut sebagai amal jariah dan mendekatkan pasukan terbabit dengan golongan memerlukan.


Pengarang :