Orang ramai menikmati juadah pada majlis Rumah Terbuka Negeri Selangor peringkat Daerah Petaling di Padang Awam MBSJ, Subang Jaya pada 21 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri mulai Sabtu ini

SHAH ALAM, 23 APRIL: Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama jemaah menteri akan diadakan di enam negeri bermula 29 April hingga 14 Mei depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan ia akan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Beliau berkata rumah terbuka itu akan bermula di Kedah pada 19 April di Hotel Raia, Alor Setar dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

“Lokasi kedua adalah di Pulau Pinang iaitu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh pada 6 Mei dari jam 11 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lokasi seterusnya ialah di Dewan Majlis Bandaraya, Seremban, Negeri Sembilan pada 7 Mei bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pada 12 Mei dari jam 7 hingga 10.30 malam.

Fahmi berkata lokasi kelima adalah di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu pada 13 Mei bermula jam 7 hingga 10.30 malam.

Kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan diadakan di Selangor iaitu di Kawasan Komersial Fasa 3, Batu Caves pada 14 Mei bermula dari 8 hingga 11 malam.

“Semua dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani.

“Semoga Syawal ini memberi peluang untuk kita saling bermaafan di samping mengeratkan lagi silaturahim sesama kita,” katanya.


Pengarang :