AGENDASUKANKINI

Dakwaan skala gaji pemain palsu, Selangor FC ambil tindakan undang-undang

SHAH ALAM, 18 APRIL: Selangor FC akan mengambil tindakan undang-undang berikutan penyebaran skala gaji palsu pemain di media sosial kebelakangan ini.

Mengutuk keras perbuatan berkenaan, pengurusan kelab juga akan memfail aduan kepada polis, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain berkaitan.

“Kelab ingin merekodkan bahawa kandungan hantaran (posting) tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah.

“Kelab menafikan sekeras-kerasnya mengaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa dalam siaran media sosial,” kata kenyataan berkenaan hari ini.

Menurut Selangor FC, penyebaran tersebut boleh merosakkan imej kelab serta menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan, lebih-lebih lagi ia dibuat berselindung tanpa nama.

Pengurusan kelab juga memberi jaminan kepada penyokong yang mereka di landasan baik dalam pelbagai aspek termasuk integriti, ketelusan dan keadilan sebagai kelab bola sepak berjaya.

Sebelum ini, media melaporkan perdebatan peminat bola sepak di laman sosial berhubung tawaran kontrak pemain Selangor FC selepas Harimau Selatan X mendedahkan dokumen berkenaan di Facebook.


Pengarang :