EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bercakap kepada media selepas majlis penyerahan insentif kemenangan kontinjen Negeri Selangor di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 7 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Selangor sedia hadapi SUKMA 2024, sasar tempat tiga teratas

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kontinjen Selangor memulakan latihan dan persiapan awal bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak tahun depan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata Majlis Selangor Negeri (MSN) akan melipat gandakan usaha bagi merealisasi sasaran kedudukan tiga teratas.

“Setakat ini kita sudah pun memulakan latihan sebaik SUKMA ke-20 tamat tahun lalu. Antara yang kita sedang lakukan adalah memperkasa unit Sains Sukan di MSN.

“Unit itu akan diletakkan bawah tanggungjawab penolong pengarah MSN yang khusus untuk memantau dan menjaga prestasi atlet,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan insentif kemenangan kontinjen Selangor SUKMA ke-20 di Dewan Raja Muda Musa di sini. Turut hadir Pengarah Eksekutif MSN Mohamad Nizam Marjugi.

Mohd Khairuddin menjelaskan unit Sains Sukan tersebut akan menilai semula prestasi atlet bagi melaksana pelbagai penambahbaikan untuk menghadapi temasya tersebut.

Menurutnya, antara sukan yang dilihat berpotensi menyumbang emas adalah acara renang, olahraga, karate dan menembak.

“Jika semua ini dilaksana dengan teratur, saya yakin kita boleh capai sasaran tempat tiga teratas. Ia tidak mustahil,” katanya.

Pada SUKMA ke-20 tahun lalu, Selangor menduduki tempat keempat dengan membawa pulang 32 pingat emas, 54 perak dan 45 gangsa.


Pengarang :