Pelajar menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka semasa tinjauan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam pada 25 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor sokong pelajar kembali pakai pelitup muka elak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 27 APRIL: Selangor menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya pemakaian pelitup muka dilaksana semula di sekolah susulan peningkatan kes Covid-19.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah berkenaan mampu mengurangkan jangkitan dalam kalangan pelajar selain menjamin tahap kesihatan akibat penularan varian baharu.

“Statistik jangkitan melibatkan sekolah meningkat, cuma tidak serius. Jadi kita kena pantau terutama selepas musim perayaan ini kerana kita bergerak, berjumpa ramai orang.

“Kita tidak tahu siapa dijangkiti dan ini berisiko kepada kesihatan. Sangat elok jika pelajar pakai pelitup muka dan ini tiada masalah kerana mereka pernah amalkan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, KKM mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksana semula di semua sekolah berikutan kebimbangan kes Covid-19 selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah turut mengingatkan golongan berisiko seperti warga emas dan pesakit komorbid untuk segera mengambil suntikan penggalak demi menjaga kesihatan.

“Sekurang-kurangnya suntikan dapat menguatkan antibodi dan menghalang diri daripada jangkitan. Pelitup muka juga perlu dipakai semua golongan terutama ketika menghadiri majlis keramaian dan kawasan tumpuan,” katanya.

 


Pengarang :