(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sidec Yong Kai Ping, EXCO Perindustrian dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim, Duta Besar Amerika Syarikat Brian D Mc Feeters dan CEO Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris memotong riben sebagai gimik perasmian Ruang Pejabat Sandbox Selangor di i-City Shah Alam pada 14 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidec umum 12 syarikat pemula teknologi ke Pitch Malaysia USA Series

SHAH ALAM, 12 APRIL: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah mengumumkan 12 syarikat permulaan teknologi Malaysia yang disenarai pendek untuk program Pitch Malaysia USA Series di Silicon Valley dan Washington DC, Amerikat Syarikat.

Dua belas syarikat permulaan yang disenarai pendek untuk menyertai program itu ialah Asia Mobility Technologies, iMotorbike, ALPS Global Holding, Virtualtech Frontier, Abletech Solution (Subplace), Boxcube, Entomal, Revenue Monster Group, QMed, Accendo Technologies, Kiddocare dan Pod.

Sidec dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat pemula niaga tersebut dipilih daripada kalangan 80 pemohon berdasarkan prospek penskalaan eksponen mereka selepas memperoleh sekurang-kurangnya US$500,000 daripada syarikat modal teroka dan menjana pendapatan US$1 juta sepanjang 12 bulan lepas.

Ia berkata program itu akan berlangsung dari 1 Mei hingga 6 Mei dan akan merangkumi tiga pameran pameran di kedutaan Malaysia di Washington DC, Draper University dan Sidang Kemuncak Pelaburan SelectUSA.

Program itu juga termasuk lawatan industri ke Pejabat Inovasi dan Keusahawanan, George Washington University, Pusat Teknologi Autodesk dan Amazon, dua pertemuan modal teroka global dan peluang rangkaian dengan diaspora Malaysia dan syarikat pemula niaga global, tambahnya.

“Pitch Malaysia USA Series ialah platform untuk memperkenalkan syarikat pemula niaga Malaysia yang berpotensi kepada pelabur antarabangsa dan membantu mereka berkembang secara global, seiring dengan matlamat negara untuk mewujudkan lima syarikat unicorn menjelang 2025.

“Ia akan menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan membina hubungan lebih erat antara ekosistem teknologi Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia,” kata Sidec.

Unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga yang mencatatkan nilai lebih US$1 bilion.

Sidec berkata Sidang Kemuncak Pelaburan SelectUSA 2023 ialah acara utama di Amerika Syarikat untuk promosi FDI yang menghubungkan kira-kira 3,600 peserta dari 70 negara termasuk pelabur tempatan dan asing, syarikat, organisasi pembangunan ekonomi (EDO) serta pakar industri untuk memudahkan urusan pelaburan.

Delegasi itu akan diketuai oleh Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari; Pengerusi EXCO Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor Datuk Teng Chang Khim; Sidec; Dana Penjana Nasional, Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital); Permodalan Negeri Selangor Bhd; The Hive Southeast Asia; The SEA Capital, Sterling Equity, dan pengasas-pengasas syarikat permulaan teknologi. – BERNAMA


Pengarang :